Assalamualaikum semua, Selamat Pagi.
Ada lagi ke yang masih tak familiar dengan sayur ni?
Kebiasaannya, sayur kacang bendi sering dijadikan pelengkap kepada hidangan kari, asam pedas dan boleh dinikmati begitu sahaja sebagai ulam . Tumbuhan yang berasal dari Afrika Tengah ini banyak ditanam di kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia. Secara teknikal, bendi diklasifikasikan sebagai sayuran buah yang berlendir. Lendir daripada sayur bendi turut digunakan untuk memekatkan sos tomato.
Sayuran ini mengandungi kalium, vitamin B, vitamin C, asid folik dan kalsium. Tak kisah sama ada makan secara rebus, goreng atau dimakan terus khasiatnya tetap sama.
Antara khasiatnya ialah
1. Baik Untuk Ibu Mengandung
Salah satu nutrien penting bagi wanita mengandung ialah vitamin B9 atau folat. Pengambilan folat yang mencukupi dapat mencegah kecacatan tiub saraf yang akan membantutkan perkembangan otak dan tulang belakang fetus yang sedang membesar. 100 gram kacang bendi dapat membekalkan kira-kira 15% daripada keperluan folat harian wanita.
2. Megurangkan Risiko Kanser
Terdapat sejenis komponen yang terkandung di dalam kacang bendi dan dikenali sebagai lektin. Lektin mampu mencegah pembentukan sel kanser. Satu kajian tabung uji terhadap sel kanser payudara membuktikan bahawa lektik dalam sayur bendi dapat mengurangkan pertumbuhan sel tersebut sehingga 63%. Ekstrak sayur bendi juga didapati menyebabkan kematian sel kanser.
3. Baik Untuk Jantung
Kandungan serat larut di dalam sayur bendi berfungsi untuk merendahkan paras kolesterol dalam darah. Perkara ini dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Di samping itu, bendi juga mengandungi pektin yang berupaya mengubah suai penghasilan asid hempedu di dalam usus, dan seterusnya turut membantu mengurangkan kolesterol. Selain itu, kandungan polifenol dalam sayur bendi berupaya mengurangkan penanda keradangan yang dikaitkan dengan penyakit jantung.
4. Merawat Masalah Penghadaman
Lenggai sayur bendi yang belum matang mengandungi polisakarida. Polisakarida ialah karbohidrat yang turut mempunyai sifat anti-lekat. Di dalam sistem penghadaman manusia, polisakarida ini membantu mencegah bakteria daripada melekat pada tisu perut, sekaligus mengelakkan pembiakannya. Sebagai contoh, komponen ini dapat mencegah pembiakan Helicobacter pylori yang berisiko menyebabkan gastritis dan ulser perut.
5. Baik Untuk Kencing Manis
Kandungan gula dalam darah yang tinggi menjerumus kepada penyakit kencing manis . Mengekalkan kadar gula dalam darah yang sihat penting untuk kesihatan. Pengambilan bendi dapat membantu kadar gula dalam darah. Bendi juga boleh mengurangkan penyerapan gula dalam saluran pencernan.
6. Mengurangkan Asma/Lelah
Mengambil atau memakan, walaupun dalam jumlah yang sedikit bagi sayuran atau buah-buahan yang tinggi vitamin C, seperti kacang bendi dapat mengurangkan gejala asma.
Ha, amacam? Seronok kan baca! banyak betul manfaatnya. Boleh lah amalkan dalam kehidupan seharian. Selamat mencuba semua~