Assalamualaikum semua, Alhamdulillah kerajaan dah umumkan boleh merentas negeri, mesti ramai yang balik kampung kan ?
Semoga kita semua selamat pergi dan selamat pulang, Aamiin~
Harini kita nak kongsikan tentang khasiat pegaga. Apa itu pegaga ye ? Haa pegaga dikenali sebagai Centella asiatica. Ianya bersaiz kecil, tumbuh menjalar, serta mempunyai jangka hayat yang pendek. Daun pegaga berbentuk bulat dan licin, serta boleh tumbuh meliar dalam semua keadaan tanah.
Pegaga merupakan ulam yang cukup sinonim dalam peradaban orang melayu kerana sejarah panjang berkaitan kegunaannya untuk pelbagai perkara sama ada sebagai makanan, dijadikan dalam bentuk minuman mahupun untuk tujuan perubatan. Ia boleh dimakan secara mentah atau dimasak terlebih dahulu.
Berikut adalah beberapa khasiat pegaga yang boleh didapati
1. Dapat Menyembuhkan Luka
Beberapa kajian mendapati pegaga boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan pembentukan kolagen, menebalkan kulit di bahagian luka dan menghalang berlakunya radang.
2. Mengawal Paras Gula
Pengambilan pegaga dapat meningkatkan penghasilan hormon insulin. Fungsi ini dapat membantu mengawal paras gula dalam darah, seperti tindakan ubat moden. Namun, ini tidak bermaksud pesakit diabetes boleh mengabaikan pengambilan ubat yang telah diberi oleh doktor.
3. Menaikkan Seri Muka
Pegaga dikatakan mampu merawat kerosakan kulit dan meningkatkan peredaran darah lalu menyebabkan wajah menjadi lebih berseri
4. Menghilangkan Parut
Dalam perubatan tradisional, pegaga digunakan untuk merawat parut pada kulit muka dan seluruh badan. Selain itu, daun pegaga yang ditumbuk halus dan kemudian dicampurkan dengan bedak sejuk amat mujarab untuk menghilangkan bintik-bintik hitam di muka.
5. Menghilangkan Stretch Mark
Bahan aktif pada pegaga yang merangasang peredaran darah mempercepatkan proses pemulihan di bahagian kulit selain menggalakkan pembentukan kolagen, sekali gus mengurangkan masalah stretch mark.
6. Bersifat Antibakteria
Di sesetengah tempat, ekstrak daun pegaga biasa digunakan untuk merawat sakit perut dalam kalangan kanak-kanak. Bahagian daun pada pokok pegaga mempunyai kesan antibakteria terhadap E. coli serta banyak bakteria dan kulat yang lain
7. Mengecutkan Peranakan
Bagi wanita yang mengalami masalah peranakan kembang atau lepas kedatangan haid bolehlah makan pucuk pegaga dengan buat ulam atau digulai. Amalkan setiap hari sehingga peranakan kecut.
Walaupun daun pegaga mempunyai banyak khasiat untuk tubuh badan kita, harus diingat bahawa ada kajian menunjukkan pengambilan pegaga secara berterusan dalam tempoh melebihi 6 bulan mungkin boleh mengakibatkan kesan sampingan pada hati. Variasikan sumber sayur-sayuran atau ulaman anda. Pastikan ada sajian sayur-sayuran serta buah-buahan dalam setiap waktu makan berat.
Pengambilan pegaga yang terlalu banyak sehari boleh menyebabkan rasa sakit perut, mual, muntah, alahan kulit, sensasi haba dan pening. Disebabkan pegaga turut memberikan rasa penenang, pengambilan pegaga bersama ubatan moden yang bertujuan untuk tidur atau menghilangkan kegelisahan perlulah dielakkan.
Demikian sedikit info mengenai khasiat pegaga, semoga bermanfaat.