Assalamualaikum semua, apa khabar, sihat ke ?

Sekarang ni kalau sis scroll FB, IG, Tiktok ramai juga ye tengah mengandung, tengah berpantang.
Tiba2 sis pun terdetik nak kongsikan menu makanan berpantang.

Berpantang ni perlu ye, untuk kesihatan kita pada masa akan datang, jangan lah makan makanan yang bergoreng, tahan sikit nafsu makan kita.
Ibu2 berpantang perlu tahu makanan berpantang supaya tak ada meroyan, sakit sakit badan, tubuh jadi lesu dan banyak lagi sakit.
Makanan berpantang untuk ibu bersalin perlulah mengenyangkan dan berkhasiat supaya dapat membantu memperbanyakkan susu badan.
Tapi jangan risau, walaupun nama makanan pantang, tapi rasa dia sedap juga yee.

Antara menu makanan berpantang ialah :

1. Sup Lobak Putih

Bahan bahan
– Ayam
– Lobak putih
– 2-3 ulas bawang putih
– 1 biji bawang merah
– 1/2 inchi halia
– Daun sup
– Kiub pati ayam
– Serbuk lada hitam

Cara Penyediaan
– Gunakan kuali non stick
– Goreng isi ayam tanpa minyak (kalau melekat letakkan olive oil sedikit) *tujuan masak dulu ayam untuk hilangkan rasa hanyir ayam* (kalau taknak goreng dulu pun tak apa, ikut pada citarasa masing2.
– Bila air ayam dah kering dan ayam dah masak masukkan air
– Masukkan hirisan bawang putih dan bawang merah
– Masukkan lobak putih
– Masukkan kiub pati ayam (kalau tawar boleh masukkan garam secukup rasa)
– Masukkan serbuk lada hitam
– Masukkan daun sup

Sekiranya lobak dah lembut, sedia dihidang. Lobak putih sesuai dihidang sebagai menu berpantang kerana membantu menambahkan kuantiti susu badan. Ia juga mampu merawat masalah penghadaman, kencing tidak lawas dan darah tinggi.

2.  Sup Ikan

Bahan-bahan
– Ikan (Jenahak, ikan merah, siakap, tenggiri)
– 2 ulas bawang putih
– 1 biji bawang merah
– 1cm halia
– Kayu manis
– Bunga lawang
– Pelaga
– Sup bunjut ikan
– Serbuk lada hitam
– Bunga kobis
– Daun sup

Cara Penyediaan
– Blender bawang merah bawang putih dan halia
– Tumis bahan blender, kayu manis, bunga lawang, pelaga dengan sedikit minyak olive oil (kalau tak tumis pun takpe)
– Masukkan air dan sup bunjut
– Masukkan ikan
– Masukkan sayur kobis
– Masukkan garam dan lada hitam
– Masukkan daun sup

Sekiranya ikan sudah masak, sedia untuk dihidang.

3. Ikan Tenggiri Grill

Bahan-bahan
– Ikan tenggiri
– Serbuk kunyit
– 1 sudu kecil serbuk lada hitam
– Garam

Cara Penyediaan
– Lumurkan serbuk kunyit, serbuk lada hitam dan garam sedikit (perap dalam 1-2 jam
– Grillkan sehingga masak

Ibu berpantang digalakkan mencampurkan lada hitam dalam makanan mereka bagi memanas dan menyegarkan badan dan membantu mengelakkan kembung perut pada bayi.

4. Daging Rebus Asam

Bahan-bahan
– Daging
– 1/2 inchi halia
– 1/2 inchi langkuas
– 2 biji bawang merah
– 2 ulas bawang putih
– Sekeping asam keping
– 1 sudu kecil ketumbar ditumbuk
– Sedikit serbuk lada hitam
– Air

Cara Penyediaan
– Tumbuk halia, lengkuas, bawang merah, bawang putih
– Masukkan air dalam periuk
– Masukkan daging
– Masukkan bahan yang ditumbuk
– Masukkan ketumbar dan asam keping
– Masukkan serbuk lada hitam
– Masak sehingga daging empuk
– Masukkan garam

Asam keping dapat membantu melancarkan sistem penghadaman dan mengempiskan perut selepas bersalin.

5. Jus Pegaga dan Madu

Bahan-bahan
– 2 ikat ulam pegaga
– 2 sudu madu
– 3 cawan air

Cara Penyediaan
– Rebus ulam pegaga
– Jika sudah mendidih tapi dan ambil airnya
– Letakkan sedikit madu
– Boleh diminum semasa panas atau sejuk

6. Lempeng Oat Tanpa Gula

Bahan-bahan
– 1 cawan oat dikisar halus
– 1 cawan tepung gandum
– Air

Cara Penyediaan
– Campurkan oat dan tepung gandum serta sebatikan dengan air sedikit demi sedikit.
– Panaskan non-stick pan dan letak sedikit butter.
– Sendukkan adunan ke dalam non-stick pan dan masak sehingga kekuningan.
– Boleh dimakan bersama madu dan buah-buahan seperti strawberi atau epal.

7. Ayam Panggang 

Bahan-bahan
– 20gm halia
– 10gm kunyit hidup
– 10gm lengkuas
– 4 biji bawang merah
– 2 ulas bawang putih
– 500gm ayam
– 1/2 cawan air
– 1 batang serai (diketuk)
– 1 sudu kecil jintan manis
– 1 1/2 sudu kecil jintan putih
– Air asam jawa secukupnya
– Garam secukup rasa
– Minyak masak

Cara Penyediaan
– Blender halia, kunyit hidup, lengkuas, bawang merah, bawang putih
– Perap ayam dengan garam bersama setengah bahagian bahan yang dikisar selama 1 jam.
– Panggang sehingga masak.
– Panaskan sedikit minyak.
– Tumis bahan kisar selebihnya hingga naik bau.
– Masukkan serai,jintan manis,jintan putih,air asam jawa dan garam.
– Tambah air dan biarkan mendidih.Curahkan ke atas ayam tadi.

Resepi ini membantu memecahkan angin dalam badan dan meningkatkan selera makan.

8. Ikan Bawal Kukus Asam Jawa

Bahan-bahan
– Ikan bawal
– Dua keping halia dihiris
– Sekeping kunyit hidup dihiris
– 1 sudu teh pes asam jawa
– Lada hitam ditumbuk
– Garam

Cara Penyediaan
– Lumurkan halia, kunyit, asam jawa, lada hitam pada ikan.
– Kukus ikan sehingga masak.

9. Kari Ikan Tiada Santan

Bahan-bahan
– Ikan
– Bawang putih
– Bawang merah
– Halia
– Halba campur
– Daun kari
– Air asam jawa
– Serbuk kari ikan
– Tomato
– Air

Cara Penyediaan
– Tumis bawang putih, bawang merah, halia, halba campur dengan sedikit minyak.
– Masukkan daun kari,
– Masukkan kari ikan.masak sehingga pecah minyak.
– Masukkan air,ikan dan air asam jawa
– Bile ikan dh masak..masukkan garam dan tomato

10. Daging Grill

Bahan-bahan
– Olive oil
– Daging segar bahagian lembut 
– Bawang putih
– Halia
– Lada hitam tumbuk kasar
– Serbuk lada putih
– Oregano
– Rosemary
– Garam halus

Cara Penyediaan
– Bersihkan daging. Perap daging dengan bawang putih, halia, lada hitam, serbuk lada putih, oregano, rosemary dan garam selama semalaman atau atleast 30min
–  Panas kan olive oil dlm non stick pan atau kuali pemanggang .
– Grill daging tadi sehingga masak.

11. Kerabu Pegaga

Bahan-bahan
– Ikan bilis ditumbuk
– Bawang besar tumbuk
– Halia tumbuk
– Garam
– Lada hitam tumbuk
– Lobak merah dipotong halus
– Pegaga

Cara-Cara :
– Sangai ikan bilis, bawang besar, halia, lada hitam, pegaga
– Bila bahan yg disangai tadi masak..tambah sedikit garam
– Di dalam bekas yg lain..masukkan pegaga dan lobak merah..then campurkan bersama bahan yg disangai tadi….
– Gaul pegaga, lobak dan bahan yg disangai tadi sehingga sekata semuanya.

12. Cencaru Bakar Berempah

Bahan-bahan
– Ikan cencaru
– 2 ulas bawang putih
– 2 biji bawang merah
– 1/2 inchi halia
– 1/2 inchi kunyit
– 2 sudu besar serbuk kari

Cara Penyediaan
– Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia, kunyit
– Campurkan kesemua bahan yang ditumbuk bersama serbuk kari dan lumurkan pada ikan.
– Bakar ikan sehingga masak.

Ini adalah antara menu menu yang boleh dibuat masa berpantang, semoga bermanfaat

Share This